jom clik!

Thursday, December 23, 2010

Muhasabah cinta~








Kita muhasabah cinta kita.

Kenapa Bercinta?

Kenapa kita bercinta dengan orang yang kita cinta?

Sedap tak soalan tu? Kalau tak sedap pun, saya rasa, pembaca kena jadikan sedap juga la. Sebab saya rasa, itulah soalan terpenting sekali, sebelum kita masuk bab menghadapi putus cinta.

Kenapa? Kenapa kita bercinta? Kenapa jatuh cinta?

“Syok-syok”, “Dah semua orang ada couple”, “Tak macho la bro kalau tade awek”, “Dia lawa seh”, “Dia kacak”, “Sebab dia Anak orang kaya”, “Dia solehah”, “Dia alim” dan macam-macam jawapan lagi. Ada macam-macam sebab boleh menyebabkan hati kita terpaut dengan seseorang itu.

Kenapa anda bercinta? Jatuh cinta? Atas sebab apa?

Ini adalah point terpenting untuk anda perhatikan. Baik jika anda ini belum lagi pernah bercinta, mahupun sedang bercinta, ataupun sudah putus cinta. Kenapa bercinta? Sebab apa jatuh cinta?

Saya tak mahu bahas panjang fasal ni. Tapi satu perkara saya nak cakap:

“Sebab yang rapuh, tak akan mampu membuatkan cinta kita utuh. Sebab yang lemah, tak akan mampu membuatkan cinta kita gagah. Sebab yang main-main, tak akan mampu membuatkan cinta kita bertahan hingga ke syurga Rabbul ‘Alamin”

Jodoh di tangan Allah, Usaha di tangan kita

Ada orang, dia memilih untuk meninggalkan permasalahan ini.

“Jodoh tu Allah dah susun…”

Begitulah jawapannya. Pasrah, redha. Awal-awal saya kata, artikel saya taklah nak kata pada orang yang berpegangan sebegini, bahawa pegangan anda salah. Cuma, saya tidak berpegang dengan pegangan sedemikian.

Jodoh, Allah memang dah tetapkan. Usalah macam mana pun, jodoh itu tetap Allah dah sediakan. Kahwin dengan siapa, bertahan atau tidak, dapat kahwin ke atau terus bujang trang tang tang, semua itu Allah dah susun.

Tapi, kita manusia, tidak tahu Allah susun macam mana. Saya ulang, kita manusia, TIDAK TAHU, Allah susun macam mana, bagaimana, untuk kita. Sebab itu, manusia di tangannya ada usaha. Allah SWT sendiri menyuruh manusia berusaha. Rasulullah SAW sendiri menggesa manusia berusaha.

Namun persoalan di sini, bagaimanakah berusaha dalam hal ini?

Dengan bercouple kah? Dengan mengorat kah? Dengan menggoda kah? Dengan sms-sms kah? Dengan bergayut telefon sampai habis kredit kah? Dengan pergi dating kah?

Ini, satu lagi soalan penting yang perlu anda perhatikan.

Cinta itu adalah ibadah

Ya, cinta itu adalah ibadah sebenarnya. Kerana Allah SWT menyatakan bahawa kehidupan ini adalah ibadah. Cinta adalah sub kepada kehidupan kita. Maka cinta itu adalah ibadah, sekiranya cinta itu berdiri atas dua perkara:

1. Jalan untuk bercinta, merupakan jalan yang Allah SWT redha.

2. Bercinta itu ikhlas hanya kerana Allah SWT.

Saya cakap awal-awal, kalau dua syarat ini tidak diambil, maka sebenarnya cintanya tadi cinta yang kosong sahaja. Bukanlah saya yang mempunyai kuasa untuk menilai sesuatu amal itu diterima atau tidak, tetapi syarat amal diterima begitulah yang ditetapkan di dalam Islam.

Kalau anda ikhlas bercinta, tetapi tidak pula bercinta atas cara yang Allah redha, maka apakah itu ibadah? Mustahil. Kalau anda bercinta ikut cara syara’, tak ikhtilat, tak bergaul bebas dan sebagainya, tapi anda tak ikhlas pun bercinta, main-main, saja syok-syok, suka-suka, atau ada niat lain hendak mempergunakan pasangan anda sebab dia kaya, dia cantik hensem, dan sebagainya, maka itu juga tidak berguna.

Cinta itu adalah ibadah.

Cuma nak menjadikannya dikira sebagai ibadah, itu kita perlu kembali merujuk kepada usaha kita.

Apakah usaha kita usaha yang Allah redha?

Di sinilah jawapannya

Bro, sinilah jawapannya pada apa yang kau tanyakan kepada aku.

“Hilal, aku putus cinta. Nak buat macam mana?”

Apabila kau sudah duduk sebentar, dan bermuhasabah, kenapa sebelum ini kau bercinta, maka aku hendak kau lihat sebab kau itu.

Banyak mana pun sebab yang ada dalam dunia ini, kita boleh bahagikan semua sebab itu kepada dua.

1. Kerana Allah.

2. Bukan kerana Allah.

Kau suka dia semata-mata sebab dia cantik, sebab dia kaya, sebab dia hensem, sebab dia macam-macamlah, termasuklah sebab dia solehah sekalipun, maka itu masuk nombor dua.

Tapi kalau kau cintakan dia, semata-mata kerana Allah. Kau cari yang lawa sebab lawa tu adalah salah satu ciri yang Rasulullah sebut, kau cari yang berada sebab yang berada itu pun antara ciri yang Rasulullah sebut, kau cari yang berketurunan baik-baik, sebab itu pun ciri yang Rasulullah sebut, kau cari yang solehah, sebab kau nak dia nanti jaga anak kau dengan baik, tarbiyyah anak kau dengan baik, jaga diri kau dengan baik agar keluarga kau membesar dalam keadaan Allah redha, maka itu semua masuk nombor satu.

Beza tau suka seseorang itu sebab dia soleh dan solehah, dengan suka seseorang yang soleh atau solehah itu dengan hajat agar dengan kesolehannya itu dia mampu membimbing kita ke jalan yang Allah redha.

Jadi sebab kau yang mana?

Kau akan menemui masalah, putus asa, kecewa, apabila kau memilih sebab-sebab di bawah kategori dua.

Tapi, kalau sebab-sebab kau bercinta itu di bawah kategori satu, maka aku rasa, tiada masalah apa-apa. Kau selamat. Kalau cinta kau berterusan, kau selamat dunia akhirat. Kalau kau putus cinta sekalipun pun, kau tetap selamat. Selamat dari kekecewaan yang mengharu birukan.

Orang kategori satu dan orang kategori dua

Orang yang cintanya, didirikan atas kategori pertama, yakni kerana Allah, maka dia tidak akan mempunyai masalah. Sedih itu biasa la. Tapi insyaAllah, sedihnya tak akan panjang. Tak sampai setengah hari pun insyaAllah.

Orang yang bercinta atas dasar kategori pertama, dia tidak akan melanggar batasan syara’. Dia tidak akan berusaha dengan cara yang Allah SWT larang. Usahanya bersih. Malah usahanya tidak termasuk dalam kategori yang orang kata sekarang, mengorat, menggoda.

Kenapa tak termasuk dalam kategori mengorat? Sebab dia yakin jodoh itu di tangan Allah SWT.

Mesti ada yang tanya: “Habis, mana usaha? Tadi kata kena usaha?”

Inilah uniknya orang yang mendirikan cintanya atas dasar iman, kerana Allah SWT semata-mata. Bukan kerana kecantikan, bukan kerana harta, bukan kerapa apa-apa yang tidak kekal. Dia usaha juga. Tapi tahukah apa usaha orang kategori pertama?

Usahanya lebih kepada peningkatan dirinya, persediaannya menjadi suami, persediaannya menjadi bapa, persediaannya untuk menghadapi kehidupan berkeluarga. Maksud persediaan-persediaan di sini, tak sikit pun dimaksudkan dengan persediaan duit ya. Duit nak tanggung anak, nak tanggung isteri, nak tanggung majlis kahwin, itu nombor 10.

Seorang pakcik pernah cakap, yang saya ini kena kahwin awal. Saya kata saya tiada duit. Dia tersengih kemudian berkata: “Duit penting tapi tak sepenting ini” Sambil meletakkan jari telunjuknya di dada saya, memaksudkan hati. “Hati ini yang kena sediakan dahulu. Siap yang ni, insyaAllah, lepas itu Allah akan permudahkan”

Persediaan yang dimaksudkan adalah persediaan untuk memikul tanggungjawab-tanggungjawab itu, tanggungjawab nak jaga akhirat isteri, tanggungjawab nak jaga akhirat anak, tanggungjawab nak menjaga hubungan mereka dengan Allah, tanggungjawab hendak membawa keluarga, hidup atas jalan yang Allah redha. Begitu juga perempuan, tanggungjawab nak jadi ibu, tanggungjawab nak jadi isteri, pendidik kepada anak, penjaga kepada suami, nak bawa keluarga kepada apa yang Allah redha.

Siapa yang sebelum dia approach pasangan dia, fikir fasal benda ni dahulu?

Atau anda fikir: “Ni semua lepas kahwin boleh fikir…”

Memang ada manusia fikir macam itu. Katanya, masa bercinta ni, masa hot, masa ni la nak bermadu asmara puas-puas. Ha… bila habis madu sepah dibuang, bila putus cinta nyawa pula terbuang. Mula kes frust menonggeng la, kelar tangan la, terjun bangunan, kunci bilik tak keluar berhari-hari la.

Apabila kita bina cinta kita atas dasar ini, kita bercinta pun atas jalan yang bersih, atas jalan yang Allah redha, cinta kita adalah semata-mata kerana Allah, nak harapkan redha Allah, maka kalau cinta kita yang macam ini punya baik putus….

Ketahuilah bahawasanya kita akan automatik redha. Percayalah cakap saya.

Sebab apa kita akan automatik redha?

Orang yang cintanya terbina atas dasar ini, cintanya tidak akan terus sampai ke pasangannya terlebih dahulu. Cintanya akan sampai kepada Allah SWT terlebih dahulu. Allah itulah sebab dia bercinta. Dengan cara yang Allah suruhlah dia bercinta. Maka apabila Allah yang merupakan matlamatnya ini, memberikan natijah bahawa dia dengan pasangannya yang disukai itu tiada jodoh, tak dapat bersama, maka dia akan redha.

“Ini tandanya, perempuan itu bukan yang terbaik untuk aku. Allah tahu apa yang terbaik untuk aku”

Ya… itulah dia kekuatan orang yang mengambil kategori pertama sebagai dasar cintanya. Kekuatan keimanan, keyakinan, bahawa Allah SWT tidak akan mengecewakannya. Buat apa kita nak kecewa dengan natijah yang Allah SWT berikan kepada kita? Kita bukan tak usaha, kita bukan buat benda yang Allah larang. Kenapa nak sedih? Kenapa nak terjun bangunan? Kenapa nak frust menonggeng?

Dia tak mempersiapkan dirinya tadi, untuk perempuan atau lelaki. Dia mempersiapkan dirinya tadi, untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada Allah, nak jadi suami yang Allah redha, nak jadi bapa yang Allah redha, nak jadi isteri yang Allah redha, nak jadi ibu yang Allah redha, nak usaha bawa keluarga, ke arah yang Allah redha. Bukan kerana pasangannya. Maka bila tak dapat pasangannya itu, apa punca kesedihannya?

Tiada. Inilah dia kekuatan, kelebihan.

Sedih sikit, itu lumrah la bro. Siapa tak sedih kan? Tapi ketahuilah, kalau cinta kita terbina dari kategori pertama, sedih kita tak akan panjang. Sebab kita sedar, kita faham, kita tahu, kita rasa yang Allah SWT itulah sebab kenapa kita bercinta. Allah SWT tak akan zalim pada kita bro. Dia hendak berikan yang terbaik pada kita. Yakin dengan yang ini, kau tak akan bersedih hati lama-lama.

Orang kategori kedua, banyak la contohnya pada zaman hari ini. Serah segala-galanya pada pasangan yang di’chenta’inya. Sampai ada yang sanggup jual badan. Tak apa pegang-pegang, raba-raba sana sini. Kononnya cinta, nanti kahwin juga. Tak apa tidur sama-sama, kononnya nanti nak bersama juga. Tak apa dating-dating, kononnya nak taaruf. Serah segala benda, katanya cinta. Duit habis, itu ini tergadai, peraturan Allah langgar, kemudian tup tup cinta putus….

Siapa yang tak terjun bangunan kalau macam itu?

Penutupnya, marilah kita perbaiki cinta-cinta kita

Di sinilah pembaca, dan bro yang saya/aku(Saya sembang ngan bro ni aku kau) ‘cinta’ kerana Allah, di sinilah kita kena lihat semula.

Hari ini, masyarakat nampak bercinta itu macam mana? Apa yang masyarakat katakan sebagai cinta lelaki perempuan hari ini?

Kita, kita bercinta bagaimana?

Bila bercinta, pernahkah kita fikir apakah percintaan kita itu dikira oleh Allah SWT atau tidak?

Sebab kan, siapa lagi nak berikan keceriaan di hati kita, kelapangan, kekuatan, kebahagiaan dalam hidup kita lepas putus cinta, lepas mengharungi dugaan dan cabaran, kalau bukan Allah SWT yang menciptakan kita, yang paling dekat dengan kita?

Allah SWT, sebab itulah kita letakkan, Allah SWT lah cinta kita yang pertama, matlamat kita dalam segala-galanya. Tiada yang lebih cintakan kita daripada Allah SWT. Cuma kita sahaja yang tidak mendalami cinta-Nya kepada kita.

Mari bercinta.

Bercinta kerana Allah, dengan cara yang Allah SWT luluskan. Bersih, selamat, bebas dari kekecewaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...